ALKISAH, maka tersebutlah dalam Nawadir: Bahawa sewaktu Nabi Musa a.s telah sampai di negeri Mesir kembali dari negeri isterinya MADYAN, maka ia telah menyampaikan kerasulannya dan seruan serta ajaran-ajaran agama yang diterimanya dari Tuhannya di lereng bukit Thursina (Sinai) dekat lembah Thuwaaitu, dengan ayat-ayat dalam kitab yang bernama Taurat.
Dimulainya seruannya ini kepada kaumnya Bani Israil, di samping menghadapi Fir'aun dengan kaumnya yang memerintah negeri Mesir pada ketika itu.
Yang menjadi pokok ajaran Nabi Musa a.s, sama sajalah dengan pokok ajaran segala Rasul dan Nabi sebelum dan sesudahnya:
" An ta'budullaha wala tusyriku bihi syaiton"
(Bahawa kamu hendaklah menyembah ALLAH dan jangan kamu mempersyarikatkan dengan NYA sesuatupun!)
Akhirnya sampailah seruan dan ajaran Nabi Musa a.s ini ke suatu negeri kecil yang letaknya jauh terpencil di Hulu sungai Nil, namanya QIRYAH. Adapaun penduduk negeri (kampung) kecil itu adalah antara seribu dengan tiga ribu orang, yang kebanyakannya terdiri dari persukuan Bani Israil.
Di antara orang-orang yang beriman di sana, termasuklah seorang Pemuda yang bernama Abdullah Syarafi (kemungkinan nama ini telah dipindahkan ke dalam bahasa Arab, kerana bahasa orang di zaman tersebut ialah bahasa Ibrani atau Hebrew).
Pemuda itu tidaklah berasa puas dengan caranya ia beriman kepada Allah begitu sahaja, malahan timbullah keinginannya hendak tahu dengan nyata akan siapa benarkah Allah, Tuhan yang akan disembah itu.
Perasaannya ini mengganggu fikirannya siang dan malam. Akhirnya ia mengambil suatu keputusan, bahawa ia akan pergi ke negeri Mesir untuk bertemu benar dengan Nabi Musa a.s bertanyakan itu.
Walaupun jarak antara negerinya itu dengan negeri Mesir teramat jauhnya, iaitu memakan masa berhari-hari perjalanan siang dan malam, mendaki bukit-bukit dan menuruni lurah-lurah, mengharungi hutan rimba yang tebal dan sunyi serta melintasi sungai-sungai dan padang pasir yang amat luas, tiadalah hal itu mematahkan semangatnya.
Tekadnya sudahlah pasti, bahawa walau betapa pun kesusahan yang akan dialaminya ia harus berjumpa dengan Nabi Musa a.s. Demikianlah. Maka pada suatu ketika yang dirasanya baik dimulainyalah perjalanannya itu.
Tiba-tiba sesudah beberapa hari dalam perjalanan itu (yang hanya seorang diri), bertemulah ia dalam suatu rimba yang sunyi dengan suatu pemandangan yang amat ngeri dan menyedihkan.
Iaitu di bawah sebatang pohon kayu didapatinya satu tubuh manusia yang masih hidup terdampar, tetapi sudah dalam keadaan rosak binasa.
Kedua kakinya sudah kena potong bekas dianiyai orang, begitu pula kedua tangannya. Ia tidak dapat bergerak lagi dari sana. Lalat-lalat banyak sudah mulai mengerubungi bekas anggotanya yang kena potong itu, bahkan sudah mulai berulat. Demikian keadaannya, sehingga hanya menunggu mautnya sahaja lagi. Alangkah terharunya hati Abdullah Syarafi menyaksikannya.
Tetapi suatu hal yang menakjubkan hatinya ketika itu ialah melihat betapa semut-semut yang banyak dengan secara bergotong-royong telah membawakan buah-buahan rimba yang jatuh bermasakan yang kebetulan banyak pula di tempat itu san boleh dimakan, langsung ke mulut hamba Allah yang sedang sengsara itu.
Orang itu menerangkan kepada Abdullah Syarafi, bahawa ia bernasib buruk demikian kerana ia dianiyai oleh sekumpulan penyamun yang telah merampokinya, sesudah harta-bendanya dirampas mereka.
Diletakkan mereka akan dia di sana demikian itu sudah ada kira-kira lima belas hari lamanya. Hanya Allah s.w.t jualah yang akan tahu betapa besarnya kesengsaraan yang sedang dideritainya itu. Tetapi rupanya menurut takdir Allah, ajalnya belum sampai, maka telah digerakkan-Nya semut-semut rimba di tempat itu untuk membawakan " makanan" ke mulutnya.
"Tolonglah tanyakan kepada Nabi Musa a.s, begini rupanya kekejaman orang terhadap diriku,adakah aku akan masuk syurga dengan menahankannya?", demikian orang yang teraniya itu menumpangkan pesannya kepada Abdullah Syarafi.
"Baiklah!", jawabnya dengan hancur perasaannya, serta ia minta dia berlalu dari situ, untuk melanjutkan perjalanannya yang masih amat jauh.
Sesudah beberapa hari pula berjalan, bertemu pulalah ia dengan sekumpulan penyamun yang amat garang dan bengis rupanya. Mereka ber"sarang" dalam satu gua yang seram. Tempat mereka itu terkenal dengan tempat yang sangat ditakuti oleh musafir.
Bilangan mereka itu sembilan orang dan mereka inilah yang telah melakukan penganiayaan terhadap orang yang dijumpainya di atas tadi.
Mulanya kesembilan orang penyamun itu hendak menyamunnya pula. Tetapi lantaran dia tidak ada membawa kekayaan apa-apa, maka mereka bertindak hendak membunuhnya sahaja.
"Jikalau kematianku berguna untuk tuan-tuan, bunuhlah aku", kata Abdullah Syarafi dengan tenang. Ia tidak takut sedikit pun, kerana ia yakin bahawa Allah yang sudah diimaninya itu tidak akan membiarkan hal itu berlaku, jikalau tidaklah kerana memang sudah "takdir" baginya.
"Tetapi menurut fikiranku", demikian Abdullah Syarafi meneruskan bicaranya "tidak akan ada gunanya kalian membunuh aku, malahan mendatangkan kesusahan sahaja. Sekurang-kurangnya perlu pula kalian menguburkan aku atau membuangkan mayatku dari sini. Kalau tidak, tentulah akan busuk tempat kalian ini. Gunanya manusia diberi akal oleh Tuhan, bukankah untuk menimbangkan sesuatu yang akan mendatangkan faedah dan meninggalkan apa-apa yang tiada berguna?"
Demikianlah abdullah Syarafi terus menceritakan maksud dan tujuan perjalanannya ke Mesir itu dan mengingatkan kepada penyamun-penyamun tersebut,, " bahawa selama hidup akan mati. Dan kelak sesudah mati, tiap-tiap manusia akan menghadapi pengadilan Tuhannya, menerima hukuman atas segala kejahatan yang sudah dilakukannya. Bertaubatlah tuan-tuan dari kejahatan tuan-tuan ini, selagi jalan untuk bertaubat itu masih terbuka!' demikian ucapan Abdullah Syarafi menutupi pembicaraannya.
Sudahlah kehendak Allah akan berlaku, Allah Ta'ala kaya sungguh; maka segala keterangan Abdullah Syarafi yang diberikannya dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan hati itu, rupannya menyelinap dan meresap ke dalam lubuk hati penyamun-penyamun itu. " Bagaimanakah kami akan bertaubat", jawab mereka sinis. "Dosa kami sudah amat banyak, seberat langit dan bumi, Selain dariapada harta-benda manusia yang sekian banyak telah kami rampas, belum pula penganiayaan-penganiayaan yang telah kami lakukan terhadap mereka, maka nyawa manusia saja yang sudah bunuh sudah berjumlah 99 orang.
Tetapi sungguhpun demikian, kami memang telah mempunyai rasa takut di dalam hati terhadap azab-azab Allah di akhirat kelak.
Tolonglah engkau tanyakan nanti kepada Nabi Musa, jikalaulah kami bertaubat sekarang, sedangkan dosa kami perbuat sudah demikian banyaknya, adakah Allah akan menerima taubat kami itu....?"
"Baiklah, nanti hal itu saya akan tanyakan kepada Nabi Musa a.s.," jawab Abdullah Syarafi. Lalu dia meneruskan perjalanannya pula.
Sepertiga perjalanan lagi akan sampai ke Mesir, maka ia bertemu pula dengan seorang perempuan yang tinggal di dalam sebuah gua batu. Perempuan itu dalam kira-kira setengah umur, tua belum, muda terlampau, Ia diam di sana seorang diri, mengasingkan dirinya itu ber'uzlah, dalam melakukan ibadatnya siang dan malam tiada henti-hentinya.
Terpegun Abdullah Syarafi dengan kagumnya berhenti di muka pintu gua melihatkan perempuan itu sedang beribadah dengan khusyu'nya. Sesudah perempuan itu selesai dari sembahyang dan melihat ada seorang laki-laki muda berdiri di muka pintu guanya memperhatikan ia beribadat; terkejutlah ia dan dengan marahnya ia membetak: "Apakah maksudmu berdiri di muka pintu guaku ini. hai laki-laki? Adakah tujuanmu hendak mengganggu aku dalam melakukan ibadat kepada Tuhanku? Celakalah engkau...
"Tidak, tidak. Maksudku tidak hendak mengganggumu melakukan ibadatmu," sahut Abdullah Syarafi dengan tenangnya. Dan tidak pula aku berniat jahat terehadapmu. Hanya aku amat hairan memikirkan keadaan kakak di sini berdiam seorang diri, di tempat yang amat lengang dan jauh daripada manusia."
"Tidakkah kakak takut? Bahkan mulanya saya menyangka, kalau-kalau kakak bukanlah manusia biasa, tetapi barangkali jin atau para penghuni rimba ini. Dari itulah, maka saya terdiri di sini melihatkan kakak melakukan ibadat. Cubalah kakak ceritakan kepada saya, kenapakah sebabnya melakukan demikian ini?"
"Engkau ini dari mana dan tujuannya hendak ke mana?" tanya perempuan itu pula.
Maka diceritakannnyalah ole Abdullah Syarafi maksud tujuan perjalanannya dari semula ia melangkah dari kampungnya "Qiryah" di hulu sungai Nil, sampai ia ke tempat itu untuk menuju Mesir untuk berjumpa Nabi Musa a.s
Perempuan itupun menceritakan pula kepadanya akan halnya maka ia berada di situ mengasingkan diri dari manusia ramai untuk melakukan ibadatnya. Diterangkannya, bahawa ia berasal dari Mesir juga serta ada juga mempunyai rumahtangga, suami dan anak-anak.
Tetapi lantaran khuatir bahawa harta benda, rumahtangga dan anak-anaknya itu akan menghalanginya daripada melakukan ibadatnya kepada Tuhanm itulah sebabnya maka ia mengasingkan dirinya ('uzlah) ke tempat yang sunyi sepi itu.
"Aku senang di sini asyik beribadat, siang berpuasa, malam beramal. Hidupku hanya semata-mata untuk Tuhanku. Tidak lagi aku khuatir akan terganggu oleh urusan rumahtanggaku, suami dan anak-anak, juga oleh masyarakatku. Tolong pulalah engkau tanyakan kepada Nabi Musa a.s.", demikian pesannya kepada Abdullah Syarafi , "adakah Tuhan menerima sekelian amal ibadatku itu dan memasukkan aku ke syurga kerana sudah demikianbanyaknya amalanku itu.....?"
"Baiklah," kata Abdullah Syarafi pula, serta ia pun meneruskan langkahnya ke Mesir supaya segera dapat berjumpa dengan Nabi Musa a.s.
Sesampainya di Mesir dan setelah dapat berjumpa dengan Nabi Musa a.s., maka dinyatakannyalah ujud maksud kedatangannya, hendak mencari sampai bertemu Tuhan, supaya tentu benar olehnya siapakah Tuhan yang akan disembahnya itu. Dalam pada itu tidak pula ia lupa buat menyampaikan ketiga macam pertanyaan yang dipesankan oleh ketiga macam orang yang telah ditemuinya dalam perjalanannya itu.
JAWAB NABI MUSA A.S.
"Hai Abdullah Syarafi!
Engkau fikirkan dan engkau tiliklah akan sifat-sifat dan makhluk bekas kekuasaan Allah itu, dan janganlah sekali-kali engkau memikirkan Zat-Nya, tidak akan terfikirkan juga olehmu! Tetapi senantiasalah akan engkau dapati wujud Allah itu dalam segala bekas kekuasaan-Nya.
Segala alam yang terbentang ini, termasuk juga kejadian dirimu sendiri adalah menjadi saksi dan petanda akan adanya Tuhan.
Dari manakah engkau dan semua makhluk yang sudah ada ini telah datang dan ke manakah nanti akan perginya...
Wahai Abdullah Syarafi," demikian Nabi Musa a.s memberi keterangan selanjutnya, " Jangankan untuk menemui wujudnya Zat Tuhan itu, yang memang sudah sengaja di ghaibkan-Nya kepada semua kita sekarang ini entah kalau nanti dizahirkan-Nya di akhirat; kalau hijab sudah diangkatkan-Nya, maka sesuatu yang berada dalam tubuh kamu sendiri pun yang kamu pastikan adanya serta kamu rasakan dan kamu dapati bekas-bekas adanya, juga tiadalah dapat kamu menemui wujud zatnya itu, yakni ruh (nyawa/jiwa) kamu sendiri.'
APA LAGILAH ZAT "DIA" YANG TELAH MENGADAKANKAN SEGALANYA ITU.
Jikalau Allah s.w.t itu menzahirkan Zat-Nya pula kepada ummat manusia sekarang ini, apakah gunanya lagi tugas kami sebagai Rasul utusan-Nya untuk menyampaikan khabar ghaib yang wajib diimani itu?
Maka nyatalah, bahawa ghaibnya Zat Tuhan, jadi suatu ujian langsung bagi imannya seorang hamba....."
Termenunglah Abdulllah Syarafi mendengarkaan huraian yang tepar dari Nabi Musa a.s itu, dan meresaplah ke dalam lubuk hati dan jiwanya akan kebenarannya.
"Dan kemudian daripada itu, sehubungan dengan tiga macampertanyaan dari ketiga golongan yang engkau temui itu, keterangannya ialah seperti berikut:
Adapun yang ditimbulkan oleh Hakikat Iman seseorang manusia itu ialah adanya empat macam sifat pada dirinya: Dua yang wajib diingati dan Dua yang wajib dilupakan.
Maka dua yang wajib diingati, ialah jasa-jasa yang diterimaterutama nikmat Allah terhadap dirinya. Dan kedua, ialah kesalahan-kesalahan dan kejahatan dirinya terhadap orang lain, termasuklah amal-amal dan ibadatnya kepada Allah s.w.t.
Serta dua macam yang wajib dilupakan, ialah jasa-jasa dan kebaikan dirinya kepada orang lain, termasuklah amal-amal dan ibadatnya kepada Allah s.w.t.
Serta yang kedua, akan kesalahan-kesalahan dan kejahatan orang terhadap dirinya.
Dari itu, wahai Abdullah Syarafi, adapun orang yang engkau temui menderita di dalam rimba itu sengsara dengan sebab kekejaman-kekejaman dan penganiayaan orang ke atas dirinya, maka ia telahmengingat-ingati akan yang wajib dilupakan. Dan kebalikannya ia telah melupakan apa yang wajib diingati.Diingat-ingatnya kejahatan penyamun yang dialaminya, tetapi ia melupakan jasa-jasa semut yang telah disuruhkan Allah buat menghantarkan makanan ke mulutnya, Maka dengan demikian itu dia tidaklah mempunyai Hakikat Iman dan dari itu dia tidaklah akan masuk syurga.
Begitu pula tentangan perempuan yang engkau temui mengasingkan diri ke dalam rimba di gua batu yang sunyi itu.
Ketahuilah bahawasanya agama itu disyari'atkan Tuhan kepada ummat manusia, ialah untuk membawakan ajaran dan petunjuk-petunjuk hukum bagi mereka, bagaimana adanya perlakuan hubungan dengan Allah dan hubungan antara manusia (hablun minallahi wa hablun minan nasi)
Nyata pulalah dengan tindakannya memencilkan dirinyameninggalkan rumahtangga, suami dan anak-anak serta masyarakatnya itu, suatu tindakan putus asa, yang dengan sendirinya ia merosakkan ajaran agamanya sendiri kerana ia telah memutuskan hubungannya dengan manusia.
Padahal, menahankan kesusahan kerana perhubungan dengan manusia itu, baik berupa hubungannya dalam melayani kepentingan suami sendiri, anak-anak atau masyarakatnya, adalah yang demikian itu termasuk amal dan ibadat jua baginya. Dan itu pulalah yang menjadi isi di antara ajaran-ajaran agama kepada manusia.
Dan lagi makanya Tuhan mengharamkan bunuh-membunuh dan peperangan terjadi, ialah kerana akibatnya memusnahkan isi dunia, memutuskan perhubungan antara manusia dan memutuskan keturunan. Sedangkan tujuan Tuhan ialah supaya dunia ini diramaikan dengan manusia.
Jadi kalau sama sajalah pendapat segala manusia dengan perempuan itu, yang laki-laki tidak hendak beristeri dan yang perempuan tidak pula hendak bersuami lagi, maka tentulah dengan sendirinya, paling lama sesudah satu keturunan yang akan datang ini, akan putuslah keturunan manusia, mereka akan musnahlah dari permukaan bumi. Dari itu, samalah dosanya dengan membunuh orang banyak.
Lagi pula yang dikehendaki oleh Hakikat Iman, ialah melupakan jasa-jasa diri, termasuk amalan dan ibadat kepada Tuhan, Maka sikap perempuan itu menonjol-nonjolkan ibadatnya, seakan-akan ia telah melagaki Tuhan dengan ibadatnya itu.
Teranglah dengan demikian, dia pun tidak mempunyai Hakikat Iman. Kerana itu ia tidaka akan masuk syurga, malahan masuk ke dalam golongan isi Neraka.
Tetapi tentangan penyamun yang sembilan orang itu, mereka telah mengakui kesalahan-kesalahannya. Bahkan mereka telah saling merasa takut akan hukuman dan siksaan, akibat daripada dosa-dosanya itu. Maka jesteru kerana itulah mereka telah menanyakan tentang taubat kepada Aku. Jikalau tidaklah kerana keinginan hendak bertaubat, tentulah tidak itu yang akan ditanyakannya.
Sedangkan Allah s.w.t. tidak pernah menutupkan pintu taubat buat sekalian hamba-Nya (kecuali dosa Syirik), sekalipun dosa-dosanya itu memenuhi gawang langit kerana banyaknya.
Dari itu, dengan demikian merekalah yang mempunyai Hakikat Iman. Dan jikalau mereka meneruskan taubatnya itu, maka merekalah yang akan masuk Syurga..."
~Demikianlah kisah itu "Kisah Mencari Tuhan"~
Dari catatan diatas dapat kita simpulkan 2 hal yang harus diingat dan dilupakan yaitu:
2 Hal Yang Di lupakannya :
- Kebaikan atau amal baik kita lakukan
- Kejahatan orang lain terhadap kita
2 Hal Yang Di ingatnya :
-Kejahatan kita atau amal buruk kita
- Kebaikan Allah dan orang lain terhadap kita
Terima kasih
Komentar
Posting Komentar